Sejarah Ringkas Tuanku Tambusai – Pahlawan Nasional Indonesia
SEJARAH RINGKAS TUANKU TAMBUSAI – PAHLAWAN NASIONAL INDONESIA/NUSANTARA
Disusun oleh : Mohd Yaser Bin Abdul Rahman
(Waris Keluarga Tuanku Tambusai)
TUANKU TAMBUSAI
(Haji Fakeh Muhammad Salleh Bin Imam Maulana Kadhi)
PENGENALAN
Tuanku Tambusai atau nama sebenarnya Haji Muhammad Salleh dilahirkan di Dalu-dalu, Rokan Hulu, Riau, Indonesia pada tahun 1784.Ayahnya bernama Imam Maulana Kadi, seorang tokoh ulamak besar di Riau dan ibunya bernama Munah warga Tambusai yang bersuku kandang kopuh. Tuanku Tambusai diberi gelaran Mahaputra Adi Pradana oleh pemerintah Indonesia atas jasanya yang mempertahankan tanah berdaulat dari cengkaman penjajah Belanda. Terima kasih pemerintah pemerintah Indonesia dan tidak lupa juga kerajaan malaysia, khususnya kerajaan Negeri Sembilan yang berganding usaha bersama provinsi Riau membaiki dan mengindahkan semula Kompleks Makam Tuanku Tambusai atau pun dikenali dengan Makam Tok Ungku yang terletak di Rasah, Seremban N.sembilan, Malaysia.
TOKOH ULAMAK NUSANTARA
Tuanku Tambusai adalah seorang tokoh ulamak Nusantara dan pejuang fisabillillah yang mana pada ketika itu kemuncak perlawanan terhadap penjajah di seluruh Nusantara adalah sangat tinggi. Beliau bukan sahaja berjuang di tanah Sumatera tetapi sebahagian perajuritnya turut terlibat dalam Perang Klang dan Perang Pahang di tanah Semenanjung bagi menentang penjajah Inggeris. Gurunya, Syeikh Daud Al fathoni pula bertempur mempertahankan tanah Pattani dari Siam dalam Perang Siam atau dikenali Perang Musuh Bisik. Selain berguru dengan Syeikh Daud Al fathoni, beliau juga berguru dengan Tuanku Imam Bonjol, ulamak Sumatera Barat di samping beliau bersahabat baik dengan Tuanku Imam Rao iaitu pejuang dan tokoh ulamak di Sumatera Barat juga.
AWAL PERJUANGAN
Sekitar awal tahun 1800, telah berlaku Perang saudara di tanah Sumatera iaitu yang dikenali dengan Perang Padri. Ia adalah persengketaan antara saudara kaum Adat dan kaum Agamawan. Dan perang saudara ini mengambil masa yang cukup lama lebih kurang 20 tahun lamanya. Perang Padri dipimpin oleh ramai tokoh ulamak di tanah Sumatera bermula dari Pasukan Tuanku Harimau Nan Selapan, kemudian disambung oleh Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Imam Rao dan akhir sekali Tuanku Tambusai mengambil puncak kepimpinan. Di saat akhir itulah antara jasa terbesar beliau adalah beliau berjaya menyatukan 3 etnik iaitu Melayu, Minang dan Mandailing untuk berganding bahu menentang penjajah Belanda di atas satu kefahaman dan penyatuan iaitu atas nama kalimah Tauhid. Ini yang sangat ditakuti oleh penjajah Belanda hingga menggelarnya dalam bahasa belanda, De Padrische Tijger van Rokan yang bermaksud Harimau Paderi dari Rokan kerana prinsip perjuangannya yang tidak mengenal ketakutan dan kekalahan. Orang2 Melayu, Minang, dan Mandailing dan seluruh sumatera mula merapatkan saf berada di belakang Tuanku Tambusai untuk bertempur habis-habisan menghalau penjajah Belanda.
MENENTANG BELANDA
Perjuangan Tuanku Tambusai bersama perajurit yang taat setia bermula di daerah Rokan Hulu, Riau dan kawasan sekitarnya dengan pusat pertahanan di Benteng Dalu-Dalu, Rokan Hulu, Riau. Kemudian beliau melanjutkan penentangannya ke wilayah Natal, Sumatera Utara pada tahun 1823. Pada tahun 1824, beliau memimpin pasukan besar gabungan Dalu-dalu, Lubuksikaping, Padanglawas, Angkola, Mandailing, dan Natal untuk menentang Belanda. Berkat kesungguhan perjuangan mereka, benteng Belanda Fort Amerongen di Rao, Sumatera Barat dapat digempur bersama perajuritnya. Penjajah Belanda cuba menyusun pertemuan bersama Tuanku Tambusai untuk mengajak beliau berunding. Tetapi prinsip perjuangan beliau mengatasi segalanya. Hanya 2 kata beliau kepada penjajah Belanda, Perang atau mundur!.
KEJATUHAN BENTENG DALU-DALU
Namun, takdir penentu segala. Pada tahun 1838, benteng Dalu-Dalu jatuh ke tangan Belanda. Akibat kemaraan dan pertambahan askar penjajah Belanda menekan perajurit Tuanku Tambusai. Selepas memohon petunjuk, Tuanku Tambusai bersama sekalian perajuritnya Melayu, Minang dan Mandailing terpaksa berundur hingga ke tanah Semenanjung bagi menyusun stratergi dan demi menyelamatkan benih agar lanjutan perjuangan ini tidak terhenti setakat itu saja. Di tanah Semenanjung, dalam waktu yang sama berlaku kebangkitan masyarakat tempatan menentang penjajah Inggeris. Tuanku Tambusai tidak merasa asing walau beliau berada di tanah Semenanjung. Dalam perkiraannya, tanah ini adalah tanah berdaulat, Nusantara orang Melayu.
DI AKHIR USIA
Banyak buku yang menyelitkan menulis tentang sejarah penentangan Tuanku Tambusai dan perajuritnya di tanah Semenanjung. Antara buku yang mashyur adalah buku tulisan almarhum wan mohd saghir alfathoni dan buku sejarah Sultan Puasa, founder of kuala lumpur. Dalam usia yang semakin tua dan uzur yang mencecah umur 100 tahun, Tuanku Tambusai menghabiskan sisa hidup perjuangannya di N.sembilan dan meninggal dunia pada tahun 1882 serta dimakamkan di mukim Rasah, Seremban, N.sembilan. Sempena namanya, disemadikan sebuah Makam yang diberi nama, Makam Tok Ungku. Tuanku Tambusai berjaya menyemai semangat anti penjajah kepada setiap jiwa-jiwa yang cintakan keamanan dan kedamaian.
Mudahan, kita sebagai generasi penerus, dapat mengambil iktibar di sebalik perjuangan Tuanku Tambusai.